Istikharah adalah merupakan suatu doa, ia boleh dibuat dengan berdoa sahaja atau solat sunat dan diikuti oleh doa. Imam As-syawkani mengatakan ianya disyariatkan di dalam Islam dan tidak diketahui terdapat khilaf padanya (Naylul Awtar, 3/71). Kedua-dua amalan ini mempunyai asas dan amat digalakkan di dalam Islam. Asasnya termaktub di dalam hadith shohih riwayat al-Bukhari (Al-Bukhari, Kitab ad-Da’awat, no 6382; Sohih menurut Al-Bukhari, At-Tirmidzi & Abi Hatim tetapi dhoif menurut Imam Ahmad Hanbal; Shohih dengan shawahid menurut Syeikh Syuaib Arnout), Dari Jabir r.a bahawa Nabi bersabda : “Apa seseorang kamu inginkan sesuatu maka hendaklah ia rukuk ( solat ) dua rak’at yang bukan solat fardhu (yakni solat sunat) kemudian berdoa : “ Allahumma inni astakhiruka bi`ilmika, wa astaqdiruka bi-qudratika, wa as'aluka min fadlika al-azim, fa'innaka taqdiru wala aqdiru, wa ta`lamu wa la a`lamu, wa anta `allamu-l-ghuyub. Allahumma, in kunta ta`lamu anna hadhal-amra [here mention your case] khairun li fi dini wa ma`ashi wa `aqibati 'amri (or 'ajili amri wa`ajilihi) faqdurhu li wa yas-sirhu li thumma barik li fihi. Wa in ta`lamu anna hadhal-amra sharrun li fi deeni wa ma`ashi wa `aqibati 'amri (or `ajili amri wa ajilihi) fasrifhu `anni was-rifni `anhu, waqdur liya al-khaira haithu kana thumma 'ardini bihi.” Ertinya : “Ya Allah, sesungguhnya aku beristikharah dengan ilmuMu dan memohon dari kekuasaanMu, dan aku memohon dari kurnianMu dan agung, dan sesungguhnya Dikaulah yang maha berkuasa dan tiadalah aku berkuasa, Dikau Maha mengetahui dan aku tidak mengetahui, dan dikau maha mengetahui perkara Ghayb, Ya Allah sekiranya urusan ini (sebutkan urusannya) baik untukku pada agamaku, kehidupanku dan pengakhiranku, maka taqdirkan ia bagiku, dan sekiranya urusan / perkaara ini buruk bagiku, agamaku,kehidupanku dan pengakhiranku, jauhkan ia dariku dan jauhkan ku darinya, dan berikanlah aku yang terbaik dimana jua ia berada dan jadikanlah daku redha dengannya” Perlu juga diingat bahawa :- Tidaklah menjadi suatu kemestian di dalam Istikharah; seseorang itu mendapat tanda di dalam mimpi, justeru ia lalu perlu tidur terlebih dahulu. Amalan istikharah sebelum tidur dan kemudian tidur dengan berwudhu bagi mendapat mimpi tanda istikharah adalah hanya cadangan dari Al-Allamah Ibn ‘Abidin (rujuk Hasyiah Ibn ‘Abidin). Manakala ulama Mazhab Syafie, Maliki dan Hanbali pula menggalakkan istikharah dibuat dalam bentuk yang paling meyakinkan tanpa menyebut “tidur”. Hakikatnya tanda istikharah boleh diperolehi dengan pelbagai cara, antaranya; selepas berdoa atau solat, berbincang dengan orang yang boleh dipercayai dan berpengalaman, juga melihat kepada tanda-tanda sekeliling termasuk bakal pasangan(dalam hal nikah kahwin). Solat istikharah 7 kali berturut ; adapun panduan agar solat istikharah dibuat sebanyak 7 kali datang dari sebuah hadith yang dhoif iaitu : “Apabila kamu inginkan sesuatu maka beristikharahlah kepada tuhanmu sebanyak 7 kali kemudian perhatilah petanda / perasaan yang datan terlebih dahulu(dominan) di dalam hatimu” ( Riwayat Ibn Sunni dari Anas, Al-Hafidz Al-‘Iraqi, An-Nawawi, Ibn Hajar mengatakan sanadnya amat lemah, rujuk Fath al-Bari, 11/223 cet Maktabah Risalah Hadithah & Naylul Awtar, 3/71) Terdapat juga ulama yang mencadangkan si pembuat istikharah agar jangan mempunyai kecenderungan tertentu kepada salah satu antara dua(atau lebih pilihannya) sebelum membuat istikharah. Demikian pandangan Ibn Hajar Al-‘Asqolani (Fath Al-Bari, 11/223) Adapun soalan penanya, sejauh manakah kita perlu berpegang dengan jawapan istikharah, jawapannya tiada sebarang paksaan, malah jika gerak hati kita tiba-tiba berat untuk menolak walapun tanda-tanda menunjukkan “terima”, sebenarnya berat hati menolak itu jugalah tanda hasil istikharah..
EHSAN USTAZ KIAS...