
Hari Raya dalam bulan Zulhijah bukan hanya pada 10 Zulhijjah, bahkan ia berlanjutan dari hari ke-11, 12 dan ke-13 yang juga lebih dikenali sebagai Hari Tasyrik. Umat Islam juga diharamkan berpuasa pada hari Tasyrik itu.
Umat Islam dianjurkan agar memperbanyakkan ibadat pada malam Aidiladha berdasarkan hadis Rasulullah yang bermaksud;
" Sesiapa yang menghidupkan dua malam Aidilfitri dan Aidiladha (dengan ibadat), maka hatinya tidak akan mati pada hari di mana hati-hati manusia akan mati (iaitu leka dari mengingati Allah)."
(Hadis riwayat Ibnu Majah)
Aidiladha dan juga Hari Tasyrik mempunyai keistimewaan yang sama ialah dari segi ibadat korban yang dilakukan. Ini kerana ibadat korban hanya boleh dilakukan dalam empat hari iaitu bermula dari waktu selepas khatib menyampaikan khutbah Aidiladha sehingga sebelum tenggelam matahari pada hari ke-13 Zulhijah.
Ibadat korban adalah satu cara untuk kita mendekatkan dan mengabdikan diri kita kepada Allah.
Allah berfirman yang bermaksud:
" Daging dan darah binatang korban atau hadiah tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah amal yang ikhlas berdasarkan kepada takwa dari kamu. Demikianlah Dia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjuk-Nya. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya.
(Surah al-Hajj, ayat 37)
Ibadat korban juga adalah satu peluang kepada setiap umat islam untuk menyucikan dirinya daripada sebarang penyakit hati dan juga segala dosa yang mungkin ada di jiwa.Rasulullah pernah bersabda maksudnya:
"Tidaklah anak Adam mengerjakan sesuatu pekerjaan pada hari korban yang lebih dicintai Allah dari mengalirkan darah haiwan korban. Sesungguhnya haiwan itu akan datang pada hari kiamat dengan tanduk, kuku dan bulunya. Sesungguhnya darah haiwan akan diterima Allah sebelum jatuh di tempat sembelihannya. Maka sucikanlah diri kamu dengan menyembelih haiwan korban.
(Hadis riwayat Ibnu Majah & Tirmizi).
Ibadat korban juga adalah satu medium yang cukup baik dalam mempereratkan lagi jalinan kemesraan dan kasih sayang sesama masyarakat.Bagi mereka yang berkemampuan melakukan ibadat korban ini akan mengagih-agihkan sebahagian daging korban kepada golongan yang kurang bernasib baik terutama fakir miskin, ibu tunggal, anak yatim dan seumpamanya.
Ini adalah satu manifestasi dari makna kesyukuran ke hadrat Allah di atas segala kurniaan nikmat yang tiada terhitung kepada manusia. Firman Allah yang bermaksud:
"Dan Kami jadikan unta (yang dihadiahkan kepada fakir miskin Makkah itu) sebahagian syiar agama Allah untuk kamu; pada menyembelih unta yang tersebut ada kebaikan bagi kamu; oleh itu sebutlah nama Allah (semasa menyembelihnya) ketika ia berdiri di atas tiga kakinya; maka apabila ia tumbang (serta putus nyawanya), makanlah sebahagian daripadanya dan berilah (bahagian yang lain) kepada orang-orang yang tidak meminta dan yang meminta. Demikianlah Kami mudahkan ia untuk kamu (menguasainya dan menyembelihnya) supaya kamu bersyukur.
(Surah al-Hajj, ayat 36).
Selanjutnya, sesiapa yang menjalankan ibadat korban ini disunatkan agar menyembelih binatang korban itu sendiri dan jika tidak mampu, dia hendaklah menyaksikan upacara korban itu terutama apabila darah pertama mula mengalir ke bumi kerana pada waktu itulah Allah akan mengampuni dosa-dosa yang lalu daripada orang yang melakukan korban itu.
Dalam hal ini, Rasulullah menyuruh puterinya Saidatina Fatimah untuk menyaksikan sendiri upacara ibadat korban yang dijalankan atas namanya. Sabda Rasulullah yang bermaksud:
"Bangunlah dan pergilah saksikan ibadat korban kamu kerana sesungguhnya pada titisan darah pertama yang mengalir akan diampunkan dosa kamu yang lepas. Fatimah bertanya kembali: Wahai Rasulullah! Apakah ia khusus kepada ahli keluarga atau umum kepada umat Islam? Jawab Baginda: Bahkan kepada seluruh umat Islam.
(Hadis riwayat Al-Bazzar & Ibnu Hibban)
Itulah antara hikmah ibadat korban yang seharusnya kita tahu dan ambil tahu sebagai satu kesedaran atau keinsafan diri bagi kita sebgai umat islam untuk mengekalkan kesepakatan dan kesejahteraan umat islam.Janganlah pula hari raya aidul adha ini menjadi satu hari raya yang tidak memberikan apa-apa kesan atau kita buat "dekk" jer kerana dari segi agama kita ianya cukup-cukup bererti bagi diri kita sebagai umat Islam..Jangan kita pandang remeh pada hari raya aidiladha ini ..Sama-samalah nanti kita timbulkan kesedaran pada diri bahawa hari raya aidil adhalah hari raya yang paling mulia untuk umat islam.Bimbang nanti anak cucu kita nanti akan anggap hari raya ini macam hari cuti umum yang biasa saja.Kerana kesedaran itu sudah hilanggg ditelan masa dan keadaan...Nauzubillah...
Mudah-mudahan ibadat korban yang kita lakukan sepanjang Hari Aidiladha dan Hari2 Tasyrik akan diterima Allah. Aminn...


