Wednesday 19 March 2008

SALAM MAULIDURRASUL 1429H


MAULUD


MAULIDURRASUL DENGAN DALIL-DALIL YANG NYATA

Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani. Segala pujian bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat dan salam keatas saiyidina Muhammad, Keluarga dan Sahabatnya sekelian.

Kami kemukakan dalil-dalil bagi masaalah Maulidurrasul didalam risalah ini, supaya dapat memberi penjelasan yang terang bagi sekelian kaum muslimin daripada terpesong dengan mereka yang membid’ahkan amalan ini. Mudah-mudahan Allah memberi manfaat dengannya, amin...!

DALIL SUNAT MENYAMBUT MAULIDURRASUL DI SISI ULAMAK AHLI SUNNAH.

  1. Merayakan hari kelahiran Nabi s.a.w. termasuk daripada perkara yang membesarkan dan memuliakan baginda. Dijanjikan kejayaan dunia dan akhirat bagi mereka yang menyambutnya. Firman Allah Taala:

“Maka mereka yang beriman dengannya (Muhammad), membesarkannya dan membantunya dan mengikuti cahaya (Al-Qur’an) yang diturunkan bersamanya. Mereka itulah yang mendapat kejayaan.”

(Surah Al-A’araf, ayat 157).

  1. Firman Allah Taala, “Sesiapa yang membesarkan tanda-tanda Allah, maka membesarkan itu ialah setengah daripada menjunjung perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya.” ( Al-Haj:32 )

Dimaksudkan dengan “tanda-tanda Allah” (شعائر الله جمع شعيرة أو شعارة ) pada umum ayat ini, iaitu setiap perkara yang dijadikan sebagai tanda atau alamat bagi mentaati Allah. Sebesar-besar tanda agama ialah Nabi Muhammad s.a.w dan menyambut Maulidurrasul itu adalah membesarkan tanda Allah, termasuk dalam menjunjung perintah-Nya.

3. Meriwayat Imam Bukhari dalam Sahihnya, begitu juga Ismaili dan Abdul Razak, Bahawa diringankan azab ke atas Abi Lahab pada hari isnin kerana memerdekakan ‘Suwaibah’ yaitu hambanya yang menceritakan khabar gembira tentang kelahiran Nabi s.a.w.

Hadis ini menunjukkan bahawa:

i) Sesiapa yang menzahirkan kegembiraannya dengan membesarkan hari kelahiran Rasulullah diberi pahala yang besar kerana Abu Lahab yang kafir, seteru kepada Nabi s.a.w. diringankan azabnya, apatah lagi orang yang muslim. Seperti yang dikatakan oleh Al-Hafiz Nasiruddin ibnu Syamsuddin Ad-Dimasyqi dan Imam Al-Qurra Al-Hafiz Syamsuddin Muhammad Al-Jazri.

ii) Dianjurkan memulia dan membesarkan Nabi s.a.w dengan mengambil sempena hari kelahirannya. Hari kelahiran Baginda merupakan ‘ Hari Kebesaran Islam ’ dan hari yang mempunyai kelebihan. Diriwayatkan daripada Qatadah Al-Ansari, ‘ Bahawasanya Nabi ditanya tentang berpuasa hari isnin, berkata Nabi s.a.w, “ Itulah hari yang dilahirkan aku padanya dan diturunkan kenabian keatas ku.” (Riwayat Muslim dan lainnya)

iii) Membuat perkara-perkara kebaikan (difahami daripada memerdekakan Suwaibah, hadis berpuasa hari isnin dan hadis berpuasa hari A’syura yang akan datang ) sempena memuliakan hari kelahiran Nabi s.a.w seperti berhimpun dengan membaca Al-Qur’an, berselawat, memuji Nabi, bersedekah, menjamu makanan, berbuat baik kepada fakir-miskin dan lain-lain.

  1. Didalam Sahih Bukhari dan Muslim, bahawa Nabi datang ke Madinah dan mendapati kaum Yahudi berpuasa hari A’syura lalu baginda bertanya , mereka menjawab, “ Ianya hari yang Allah menenggelamkan Fir’aun dan menyelamatkan Musa. Kami berpuasa pada hari ini kerana mensyukuri Allah ta’ala.” Lalu nabi berkata, “ Kami terlebih utama dengan Musa…”.

Diambil pengertian daripada hadis ini, kita disarankan mensyukuri atas nikmat pemberian Allah pada hari tertentu yang mempunyai kelebihan atau hari yang dilepaskan daripada musibah. Menyambut Maulidurrasul adalah menzahirkan kegembiraan dan mensyukuri nikmat dan rahmat Allah ke atas alam ini. Ini kerana , sebesar-besar nikmat yang sempurna dan rahmat ialah lahirnya nabi kita s.a.w. sebagaimana berkata Ibnu Hajar Al-Haitami, Al-Hafiz Ibnu Hajar Assqalani, Sayuti dan lain-lain.

Firman Allah ta’ala, “ Katakanlah kepada kaummu, dengan kurniaan Allah dan rahmatnya , maka dengan demikian itu ( kurniaan dan rahmat ) , hendaklah kamu bergembira dan mensyukurinya.” ( Yunus:58 )

FirmanNya, “Tidaklah kami mengutuskan engkau ya Muhammad melainkan kerana rahmat bagi sekelian alam.” ( Al-Anbiyaa’:107 )

  • Memperingati dan membesarkan Maulidurrasul dengan selawat, membaca kisahnya, merupakan perantaraan kepada mencintai nabi dan mencintai Allah. “ Tidak sempurna iman seseorang daripada kalangan kamu sehingga adalah aku terlebih dikasihinya daripada dirinya, hartanya, anaknya dan sekelian manusia.” ( al-Hadis ). Firman Allah ta’ala, “ Katakanlah kepada kaummu, jika sekiranya kamu mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mencintai kamu.” (Ali-Imran:31)



  • Ehsan Penulisan Pelajar Pondok Pasir Tumbuh Kota Bharu Kelantan.

    3 comments:

    1. Ad, salam maulidur rasul.

      apa kabar?

      ReplyDelete
    2. Alhamdulillah anne...baik2 aja..

      ReplyDelete
    3. hi ad...terima kasih melawat blog saya...salam maulidur rasul juga

      ReplyDelete

    LUAHKAN RASA YANG ADA :-)