Sunday 7 December 2008

SALAM AIDUL ADHA



Akhirnya sampailah Ad ke entry yang ke 100..Tak sangka lak selama ni dah sampai seratus entry..Yg dulu main-main jer berblog jadi serius lak...Tq lah kepada one of my fren yang suggest untuk buat blog..Ad dapat sesuatu dari penulisan blog ni..Alhamdulillah..Suatu tempat yang boleh beri Ad kepuasan dalam menyatakan sesuatu..Rasa legaa sangat-sangat bila menulis dan  bloggers bagi respon yang amat baik..Syukurr..Ad hargai sangat2 segala komen-komen yang diberikan..Appreciate it very very much..Terima kasih ..

So sempena umat islam menyambut hari raya aidil adha ni Ad nak ucapkan Selamat Hari Raya Aidil Adha..Semoga kita semua menghayati sepenuhnya semangat pengorbanan yang sebenarnya menurut agama islam..Pengorbanan seluruh jiwa dan raga kita dengan mengabdikan diri kepada yang Maha Esa...Moga pengorbanan yang kita lakukan akan diberkati dan dirahmati oleh Allah..

ERTI PENGORBANAN

Apa erti jihad tanpa pengorbanan
Apa erti kata-kata tanpa dikotakan
Nabi Ibrahim lambang kejujuran
Hati bercahaya penyuluh zaman

Apa erti hamba tanpa ketaatan
Apa erti cinta tanpa pengorbanan
Nabi Ismail contoh tauladan
Sanggup mati untuk Tuhan

Setiap tahun muslimin ke Mekah
Beribadah mengingati sejarah
Berlutut di Baitul Kaabah
Dalam penuh pasrah

Tiada beza darjat
Yang kaya atau melarat
di hadapan Yang Maha Perkasa
Menangislah orang berdosa


Hikmah Pengorbanan..


Menghayati hikmah berkorban

Oleh: AHMAD TARMIZI ZAKARIA

AIDILADHA yang juga dikenali sebagai Hari Raya Haji atau Hari Raya Korban mempunyai siratan makna dan falsafah yang begitu mendalam dan menuntut setiap umat Islam untuk melakukan pengorbanan.

Sesungguhnya, Hari Raya Aidiladha yang disambut pada setiap 10 Zulhijjah adalah bersempena dengan ibadat haji yang merupakan rukun Islam kelima. Ia juga suatu usaha ke arah mewujudkan perpaduan di kalangan umat Islam di seluruh dunia.

Pada hari yang mulia ini seperti kebiasaannya kita sebagai umat Islam akan memanjatkan kesyukuran kita kepada Allah s.w.t di atas segala nikmat yang telah dikurniakan-Nya dengan menyempurnakan acara penyembelihan korban oleh mereka yang mempunyai kemampuan seperti mana yang disunatkan oleh agama kita.

Walau bagaimanapun, acara penyembelihan ini sebenarnya merupakan satu simbol sempena peristiwa Nabi Ibrahim a.s. yang diperintahkan oleh Allah s.w.t untuk menyembelih anaknya sendiri iaitu Ismail sebagai menguji ketaatan Nabi Ibrahim a.s. terhadap perintah Allah. Kita semua mengetahui bahawa dalam peristiwa itu Allah s.w.t telah menggantikannya dengan seekor kibas untuk dijadikan korban.

Pada hari ini, kita juga melaksanakan ibadah korban dengan menyembelih lembu, kambing dan yang seumpama dengannya yang kemudiannya diagih-agihkan kepada fakir miskin dan orang Islam lain sebagai tanda kesyukuran kita terhadap nikmat yang diberikan kepada kita oleh Allah s.w.t.

Begitu banyak pengajaran yang boleh kita hayati daripada kisah Nabi Ibrahim a.s. tersebut. Pengertian korban bukan sekadar menyembelih binatang korban dan dagingnya disedekahkan kepada fakir miskin, tetapi falsafah korban itu merangkumi aspek yang lebih luas.

Berkorban memberi interpretasi tentang kesanggupan kita untuk menyerahkan harta atau apa-apa yang disayangi dan dihargai kerana menginsafi akan keperluan orang lain yang lebih memerlukan atau untuk tujuan kebaikan. Begitu juga dengan nyawa sendiri kadangkala terkorban demi mempertahankan agama dan umat Islam.

Di samping itu, ibadat korban yang dituntut oleh Islam bertujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah s.w.t dengan mematuhi segala titah perintahnya. Islam juga menuntut umatnya berkorban demi menegakkan kalimah Allah, mengabdikan diri seutuhnya kepada Allah dan menjadikan Islam sebagai peraturan hidup (nizamul hayah) iaitu suatu sistem hidup yang lengkap dan sempurna. Kesanggupan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail untuk menyembelih dan disembelih itu bukan semata-mata didorong oleh perasaan taat setia yang membuta tuli, tetapi sebaliknya meyakini bahawa perintah Allah itu mengandungi falsafah yang begitu tersirat.

Allah s.w.t memberi perintah sedemikian sebagai peringatan kepada umat yang akan datang bahawa adakah mereka sanggup mengorbankan diri, keluarga dan harta benda yang disayangi demi menegakkan perintah Allah dan adakah mereka juga sanggup memikul amanah sebagai khalifah Allah di muka bumi.

Hidup ini juga adalah satu perjuangan dan setiap perjuangan memerlukan pengorbanan dan tidak ada pengorbanan tanpa kesusahan.

Sesungguhnya, kesediaan berkorban dapat membentuk peribadi yang mulia yang memahami erti keinsafan, bersyukur atas segala nikmat yang diterima dan bertimbang rasa kepada golongan yang kurang bernasib baik. Masyarakat yang di kelilingi dengan orang yang sedia berkorban pasti akan menjadi masyarakat yang kukuh, aman dan bahagia.

Seluruh umat Islam di Malaysia sewajarnya bersyukur kerana bebas melakukan ibadah tanpa berasa takut ditimpa musibah. Allah s.w.t senantiasa menyeru hambanya agar selalu bersyukur di atas segala nikmat yang dikurniakan-Nya. Ini kerana, orang yang sentiasa bersyukur akan menerima lebih banyak nikmat daripada Allah s.w.t. Sebaliknya, orang yang kufur atau tidak bersyukur akan menerima balasan yang pedih daripada Allah s.w.t. Justeru, ibadah korban yang kita lakukan bukan merupakan sesuatu yang rugi bahkan akan mengundang lebih banyak nikmat sebagai ganjaran daripada Allah s.w.t.

Maju mundurnya sesuatu agama, bangsa dan negara itu bergantung kepada tahap pengorbanan umatnya. Islam sentiasa menuntut pengorbanan daripada semua golongan dan dari segala sektor dan bidang sama ada rakyat atau pemerintah, birokrat atau teknokrat, cendekiawan mahupun ahli agama.

Sesungguhnya semangat pengorbanan dan semangat jihad (roh al-jihad) tidak dapat dipisahkan. Hanya pengorbanan yang dikaitkan dengan semangat jihad untuk mendapat keredaan Allah akan menatijahkan kesan yang mendalam.

Secara umumnya, ibadat haji yang dilaksanakan oleh umat Islam mempunyai peranan dalam mengasah dan mendidik jiwa manusia supaya cintakan kepada keamanan dan bencikan persengketaan atau peperangan yang sering melibatkan pertumpahan darah, harta dan nyawa. Malah ibadah tersebut juga turut menggalakkan seluruh umat Islam untuk bersatu, berbaik-baik dan membina kemesraan yang berkekalan antara sesama Islam sebagaimana maksud hadis Rasulullah s.a.w iaitu:

Tidak beriman salah seorang di antaramu sehingga ia mencintai saudaranya (sesama mukmin) seperti mana ia mencintai dirinya sendiri.

Begitu juga kepada seseorang yang melakukan ibadat korban pastinya mendapat ganjaran pahala yang banyak seperti sabda Baginda Rasulullah s.a.w yang maksudnya:

Orang yang berkorban itu akan diberi pahala, tiap satu helai bulu binatang ternakan dengan satu kebaikan.

Tentunya kesemua jemaah haji dari seluruh dunia yang kini telah berada di Tanah Suci, Mekah mengharapkan mereka diterima sebagai tetamu Allah. Seperti tahun-tahun lalu, kini lebih daripada dua juta umat Islam dari seluruh dunia berhimpun seolah-olah menghadiri satu perjumpaan antarabangsa di kota suci sebelum ke Padang Arafah, Muzdalifah dan Mina.

Jelas, perhimpunan sejak 1429 tahun yang silam itu membuktikan bahawa seluruh umat Islam tanpa mengira keturunan, warna kulit mahupun darjat bersatu teguh dalam usaha mengeratkan lagi silaturahim dengan rasa kesamarataan, persaudaraan dan perpaduan. Hati mereka tertumpu sepenuhnya kepada Allah s.w.t seraya mengingati kekuasaan-Nya, mengangkat suara bersama rakan-rakan saudara Muslim yang lain menyahut seruan Allah menerima jemputan-Nya yang datang dari seluruh pelusuk dunia.

Begitulah, kita di Malaysia akan sama-sama turut menyambut Hari Raya Aidiladha atau Hari Raya Haji yang jatuhnya pada tanggal 10 Zulhijjah setiap tahun. Pada hari itu juga di Tanah Suci Mekah berkemuncaknya perhimpunan raksasa umat Muslimin yang datang dari seluruh dunia kerana menyahut seruan Allah.

Dari sini menunjukkan bahawa ibadat haji dan amalan korban mempunyai kaitan yang rapat, malah para ulama berpendapat amalan korban mempunyai keistimewaan yang tersendiri. Ini kerana, selain ganjaran pahala yang dijanjikan, amalan ini juga akan dijadikan sebagai kenderaan ketika menyeberangi titian Siratul Mustaqim di akhirat nanti.

Para jemaah haji yang menjadi tetamu Allah di tanah suci, akan bertawaf mengelilingi Baitullah dengan penuh perasaan ingin mendekatkan diri kepada Tuhan Pencipta Alam serta mencari perlindungan di bawah naungan rumah suci-Nya.

Hati mereka semuanya khusyuk sambil tangan mereka menadah ke langit dan berdoa kepada Allah S.W.T. memohon keampunan dengan harapan yang ikhlas, suci dan murni supaya dicurahkan rahmat-Nya dan diampunkan segala dosa yang terdahulu. Di samping itu, pakaian, gerak-geri, perbuatan dan perkataan mereka menampakkan perpaduan yang akan menghilangkan perasaan perkauman, perbezaan warna kulit, bangsa, bahasa dan pangkat.

Selaras dengan semangat pengorbanan yang dianjurkan oleh Aidiladha ini, kita harus menjauhi sikap mementingkan diri sendiri atau puak yang boleh menjurus kepada perpecahan dan perbalahan sesama kita.

Pada hari yang mulia ini, kita sebagai umat Islam adalah diseru dan diingatkan supaya selalu insaf dan bersyukur di atas segala nikmat dan membuktikan keinsafan dan kesyukuran ini dengan mengorbankan kepentingan diri dan merapatkan hubungan silaturahim sesama orang Islam di negara ini. Pada masa yang sama juga perlu kita elakkan daripada bersengketa dengan kaum-kaum lain.

* AHMAD TARMIZI ZAKARIA ialah Koordinator dan Pensyarah Pengajian Islam dan Bahasa Arab, Kolej INPENS, Yayasan Selangor, Shah Alam.

8 comments:

  1. mmg dlam pghyatan pengorbanan,
    setiap insan diciptakan untuk beriman dan beramal kepada sang pencipta..
    Hanya allah yang mampu menghakimi semuanya..
    nice blog..
    n congrat cos da tlis 100 entri..

    ReplyDelete
  2. SKATYPE-Yup semuanya kita berserah kepada Allah...Terima kasih...

    ReplyDelete
  3. salam aidiladha ad :) korban apa tahun ni?

    ReplyDelete
  4. FAISAL-Korban kasih..haha..takdelah..Umah Ad nih ambik korban 3 bahagian dari 7 bahagian..Insyallah pagi 10 Zulhijjah 1429h..Moga semuanya berjalan lancar dan cuaca mengizinkan..

    ReplyDelete

LUAHKAN RASA YANG ADA :-)